[ UIC 14 ] – Tazkiyatun Nufus 95

Bab 95 – Sunnahnya Memberikan Berita Gembira Dan Mengucapkan Ikut Bergembira Dengan Diperolehinya Kebaikan

Allah Ta’ala berfirman:

“Maka berikanlah berita gembira kepada bamba-hambaKu yang suka mendengarkan ucapan, lalu mengikuti mana yang sebaik-baiknya.” (az-Zumar: 17-18)

Allah Ta’ala berfirman lagi:

“Tuhan mereka memberikan kegembiraan kepada mereka -yakni orang-orang yang beriman dan berjihad dengan memperolehi kerahmatan, keredhaan dan syurga daripadaNya; di dalam syurga itu mereka mendapatkan kenikmatan yang abadi.” (at-Taubah: 21)

Juga Allah Ta’ala berfirman:

“Bergembiralah engkau semua – hai orang-orang yang bertuhankan Allah dan berpendirian teguh – dengan memperolehi syurga yang telah dijanjikan kepadamu semua.” (Fushshilat: 30)

Allah Ta’ala berfirman pula:

“Kami memberikan berita gembira padanya – iaitu Ibrahim – bahawa ia akan memperolehi anak yang berhati sabar.” (as-Shaffat: 101)

Allah Ta’ala juga berfirman:

“Nescayalah benar-benar telah datanglah utusan-utusan Kami kepada Ibrahim dengan membawa berita gembira.” (Hud: 69)

Lagi Allah Ta’ala berfirman:

“Dan isterinya – yakni Ibrahim – berdiri dengan tersenyum, lalu Kami sampaikan kepadanya berita gembira dengan kelahiran Ishaq dan sesudah Ishaq lahir pulalah Ya’qub.” (Hud: 71)

Allah Ta’ala berfirman pula:

“Kemudian malaikat memanggilnya – yakni Zakariya – dan di waktu itu ia sedang berdiri melakukan shalat di Mihrab bahawa Allah memberikan berita gembira kepadamu dengan kelahiran Yahya.” (ali-lmran: 39)

Allah Ta’ala berfirman lagi:

“Ketika malaikat berkata: “Hai Maryam, sesungguhnya Allah memberikan berita gembira padamu dengan kalimat dari Tuhan, iaitu kelahiran anak bernama al-Masih Isa anak Maryam sampai habisnya ayat. (ali-lmran: 45)

Ayat-ayat dalam bab in! banyak sekali dan dapat dimaklumi. Adapun Hadis-hadisnya maka banyak sekali dan semuanya itu termasyhur dalam kitab Hadis shahih, di antaranya ialah:

706. Dari Abu Ibrahim, dikatakan pula bahawa namanya ialah Abu Muhammad dan ada yang mengatakan Abu Mu’awiyah iaitu Abdullah bin Aufa radhiallahu ‘anhuma bahawasanya Rasulullah memberikan berita gembira kepada Khadijah – isterinya – dengan memperolehi sebuah rumah di dalam syurga yang terbuat dari mutiara berlobang. Di situ tidak ada teriakan apa pun dan tidak pula ada kelelahan. (Muttafaq ‘alaih)

Al-Qashab di sini ertinya ialah mutiara berlubang; as-Shakhab ertinya teriakan dan jeritan; an-Nashab iaitu kelelahan.

707. Dari Abu Musa al-Asy’ari r.a. bahawasanya ia berwudhu’ di rumahnya kemudian keluar lalu berkata: “Nescayalah saya akan menetap bersama Rasulullah s.a.w. dan selalu berada di sisinya pada hari ini.” la mendatangi masjid, lalu menanyakan perihal Nabi s.a.w. Orang-orang sama berkata: “Beliau menuju ke sana.”

Abu Musa berkata: “Saya lalu keluar mengikuti jejaknya sambil menanyakan perihal beliau, sehingga masuklah beliau ke perigi -atau sumur – Aris. Saya duduk di sisi pintu sehingga Rasulullah s.a.w. menyelesaikan hajatnya dan berwudhu’. Selanjutnya saya berdiri menuju ke tempatnya, beliau di saat itu sudah duduk di atas perigi Aris dan berada di tengah-tengah dinding perigi tersebut. Beliau membuka kedua betisnya dan melemberehkan keduanya itu di perigi. Saya lalu memberikan salam padanya, kemudian saya kembali terus duduk di sisi pintu. Saya berkata: “Benar-benar saya akan menjadi juru penjaga pintu Rasulullah s.a.w. pada hari ini.”

Kemudian datanglah Abu Bakar r.a. lalu menolakkan pintu. Saya bertanya: “Siapakah ini?” la menjawab: “Abu Bakar.” Saya berkata: “Tunggu sebentar.” Saya pun pergilah lalu berkata: “Ya Rasulullah. Ini Abu Bakar datang meminta izin.” Beliau s.a.w. menjawab: “Izinkan ia dan sampaikanlah berita gembira padanya bahawa ia akan memperolehi syurga.” Saya menghadap kembali sehingga saya berkata kepada Abu Bakar: “Masuklah dan Rasulullah memberikan berita gembira pada anda bahawa anda akan memperoleh syurga.” Abu Bakar lalu masuk, sehingga duduklah ia di sebelah kanan Nabi s.a.w. yakni berjajar dengannya di dinding perigi dan melemberehkan kedua kakinya di perigi itu. Saya telah meninggalkan saudaraku * iaitu Abu Burdah – berwudhu’ lalu menyusulku lagi. Saya berkata: “Jikalau Allah itu menghendaki kebaikan pada seseorang – yang dimaksudkan ialah saudaranya itu, maka Allah mendatangkannya – untuk dapat hadhir di tempat Nabi s.a.w.

Tiba-tiba ada orang lain lagi yang menggerak-gerakkan pintu. Saya bertanya: “Siapakah ini?” la menjawab: “Umar bin al-Khaththab.” Saya berkata: “Tunggu sebentar,” lalu saya mendatangi Rasulullah s.a.w., memberikan salam padanya dan saya berkata: “Ini Umar datang meminta izin.” Beliau s.a.w. bersabda: “Izinkanlah ia dan sampaikanlah berita gembira bahwa ia memperoleh syurga.” Kemudian saya mendatangi Umar lalu berkata: “Rasulullah s.a.w. mengizinkan. Masuklah dan Rasulullah s.a.w. menyampaikan berita gembira pada anda bahwa anda memperoleh syurga.” Umar masuk lalu duduk bersama Rasulullah s.a.w. di dinding perigi di sebelah kirinya dan melemberehkan pula kedua kakinya di perigi tadi. Seterusnya saja kembali lagi lalu duduk dan berkata: “Jikalau Allah menghendaki kebaikan pada seseorang – yang dimaksudkan ialah saudaranya itu, maka Allah mendatangkannya – untuk dapat hadhir di tempat Nabi s.a.w.

Seterusnya datang pula seorang lagi lalu menggerak-gerakkan pintu, saya berkata: “Siapakah ini?” la menjawab: “Usman bin Affan.” Saya berkata: “Tunggu sebentar.” Saya mendatangi Nabi s.a.w. lagi dan memberitahukan padanya kedatangan Usman. Beliau s.a.w. lalu bersabda: “Izinkanlah ia dan sampaikanlah berita gembira padanya bahawa ia akan memperolehi syurga dengan mendapatkan beberapa bencana yang akan mengenai dirinya.” Saya datang lalu berkata: “Masuklah dan Rasulullah s.a.w. menyampaikan berita gembira pada anda bahawa anda akan memperolehi syurga dengan adanya beberapa bencana yang akan mengenai anda.” Usman masuklah dan didapatinya bahawa dinding perigi telah penuh. Maka dari itu ia duduk menghadap beliau-beliau – yang datang dulu itu – di tepi yang sebelah lainnya.”

Said bin al-Musayyab berkata: “Kemudian saya mentakwilkan sedemikian itu akan makam-makam beliau-beliau – yakni bahawa Rasulullah s.a.w. beserta kedua sahabatnya yakni Abu Bakar dan Umar radhiallahu ‘anhuma menjadi satu dalam sebuah tempat iaitu di bilik Sayyidah Aisyah radhiallahu ‘anha.” (Muttafaq ‘alaih)

Dalam sebuah riwayat lain ditambahkan;

“Rasulullah menyuruh saya – Abu Musa al-Asy’ari – untuk menjaga pintu.” Juga dalam Hadis ini disebutkan bahawasanya Usman ketika diberitahu khabar bahawa ia akan memperoleh syurga, ia lalu mengucapkan puji-pujian kepada Allah Ta’ala kemudian berkata: “Allah yang dimohoni pertolongan,” sebab ia tahu akan memperolehi bencana di belakang hari nanti.

708. Dari Abu Hurairah r.a., katanya: “Kita semua duduk-duduk di sekitar Rasulullah s.a.w., beserta kita ada pula Abu Bakar dan Umar radhiallahu ‘anhuma yakni dalam sekelompok sahabat. Kemudian Rasulullah s.a.w. berdiri dari hadapan kita lalu lambat benar kembalinya pada kita itu. Kita semua takut kalau-kalau mendapatkan suatu bencana tanpa sepengetahuan kita. Kita pun mulai takut lalu kita semua berdiri – untuk mencarinya. Saya lah pertama-tama orang yang merasa takut itu. Saya keluar mencari Rasulullah s.a.w. sehingga datang lah saya di suatu dinding pagar milik Bani Najjar. Saya berkeliling di sekitar dinding tadi, barangkali saya boleh mendapatkan pintunya, tetapi tidak saya temukan. Tiba-tiba di situ nampaklah suatu rabi’ yang masuk ke tengah dari perigi yang ada di luar (rabi’ iaiah selokan atau aliran air kecil). Saya pun lalu menggali tanah kemudian masuk menemui Rasulullah s.a.w. Beliau s.a.w. bersabda: “Abu Hurairah?” Saya berkata: “Ya, benar hai Rasulullah.” Beliau bertanya: “Ada apakah engkau ini?” Saya berkata: “Tadi Tuan berada di muka kita semua, lalu Tuan berdiri, kemudian Tuan amat lambat datang kembali pada kita. Kita takut kalau-kalau Tuan mendapat sesuatu bencana tanpa sepengetahuan kita. Sayalah pertama-tama orang yang merasa ketakutan itu. Kerana itu saya mendatangi dinding ini lalu saya menggali tanah sebagaimana musang menggalinya. Orang-orang itu semua ada di belakang saya.” Beliau s.a.w. lalu bersabda: “Hai Abu Hurairah,” dan beliau memberikan dua buah terompahnya, lalu bersabda lagi: “Pergilah dengan dua buah terompahku ini. Maka barangsiapa yang engkau temui dari balik dinding ini yang menyaksikan bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dengan hati yang meyakinkan benar-benar akan hal itu, hendaklah engkau berikan berita gembira padanya bahawa orang tersebut akan memperolehi syurga.”

Selanjutnya Abu Hurairah menyebutkan Hadis ini selengkapnya yang panjang. (Riwayat Muslim)

Ar-Rabi’ ialah sungai kecil iaitu selokan – jadual – dengan menggunakan fathahnya jim, sebagaimana yang ditafsirkan dalam Hadis.

Ucapan Abu Hurairah r.a.: Ihtafartu, diriwayatkan dengan ra’ dan dengan zai. Kalau dengan zai maknanya ialah saya menyusutkan diri dan saya mengecil sehingga dapatlah saya masuk ke dalam.

709. Dari Abu Syumasah, katanya: “Kita mendatangi ‘Amr bin al-‘Ash r.a. dan ia sedang dalam keadaan dihadhiri oleh kematian -yakni tidak lama lagi akan meninggal dunia. la menangis panjang -yakni lama sekali. Anaknya berkata: “Hai ayahku, bukankah Rasulullah s.a.w. telah menyampaikan berita gembira kepada anda, demikian. Bukankah Rasulullah s.a.w. telah menyampaikan berita gembira kepada anda, demikian.” ‘Amr lalu menghadapkan muka kepada anaknya itu, kemudian berkata: “Sesungguhnya seutama-utama apa yang kami sediakan – untuk pulang kembali ke alam akhirat – ialah bersyahadat bahawasanya tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawasanya Muhammad adalah pesuruh Allah. Sesungguhnya saya ini telah mengalami tiga tingkat. Dahulu sekali saya telah melihat diriku sendiri iaitu bahawa tiada seorang pun yang paling saya benci melebihi kebencian saya kepada Rasulullah s.a.w. dan tiada sesuatu yang lebih saya inginkan daripada sekiranya saya dapat menguasai beliau s.a.w. lalu saya membunuhnya. Maka andaikata saya mati dalam keadaan sedemikian itu, nescayalah saya termasuk golongan ahli neraka.

Selanjutnya setelah Allah menetapkan Agama Islam dalam hatiku, maka saya mendatangi Nabi s.a.w., lalu saya berkata: “Beberkanlah tangan kanan Tuan, supaya saya dapat berbat’at kepada Tuan.” Beliau s.a.w. membeberkan tangan kanannya lalu saya menangkapkan tanganku – yakni menjabat tangan beliau s.a.w. itu. Beliau bertanya: “Ada apakah anda ini, hai ‘Amr?” Saya berkata: “Saya menghendaki supaya diberi syarat.” Beliau bertanya: “Dengan syarat apakah yang anda inginkan?” Saya menjawab: “Iaitu supaya saya diberi pengampunan – segala kesalahan yang lalu.” Beliau bersabda: “Tidakkah anda ketahui bahawa Islam itu merosakkan apa-apa yang ada sebelumnya – yakni bahawa dosa-dosa yang dilakukan sebelum masuk Islam akan lenyap setelah seseorang itu masuk dalam Agama Islam itu. Juga bahawasanya hijrah itu merosakkan apa-apa yang sebelumnya dan bahawasanya haji juga merosakkan apa-apa yang sebelumnya.” Sejak saat itu tiada seorang pun yang lebih saya cintai daripada Rasulullah s.a.w. Tidak ada pula seseorang yang lebih agung dalam pandangan mataku daripada beliau itu. Bahkan saya tidak dapat memenuhi kedua mataku dari kebesaran beliau itu, kerana sangat menjunjung tinggi padanya. Andaikata saya diminta untuk menghuraikan sifat beliau, tentu saya juga tidak dapat melakukannya, kerana saya tidak dapat memenuhi kedua mataku daripada keperibadian dirinya itu. Jikalau sekiranya mati dalam keadaan sedemikian ini, nescayalah saya dapat mengharapkan bahawa saya akan termasuk dalam golongan ahli syurga. Tetapi sesudah itu kami diberi kekuasaan untuk mengatur beberapa macam persoalan, yang saya sendiri tidak mengetahui bagaimana keadaanku dalam macam-macam persoalan tadi – yakni apakah saya di pihak benar atau salah.

Oleh sebab itu, jikalau saya meninggal dunia, maka janganlah saya disertai oleh tangisan yang keras-keras dan jangan disertai api – sebab mayat akan memperolehi siksa api neraka, jikalau keluarganya menangis melebihi batas yang dibolehkan dalam syariat Islam. Seterusnya jikalau engkau semua menanam tubuhku, maka tuangkanlah air sedikit demi sedikit di atas tanah. Kemudian beradalah engkau semua di sekitar kuburku sekadar lamanya menyembelih binatang lalu dibahagi-bahagikan dagingnya – maksudnya jangan terlampau lama di kubur itu, sehingga dengan demikian saya dapat merasa tenang dalam pertemuanku denganmu tadi dan saya dapat melihat apa yang akan saya berikan sebagai jawaban kepada para utusan Tuhanku – yakni para malaikat yang akan menanyainya dalam kubur.” (Riwayat Muslim)

Ucapannya: syunnu diriwayatkan dengan menggunakan sin mu’jamah – berbunyi syunnu – dan ada yang dengan menggunakan sin muhmalah – berbunyi sunnu, ertinya ialah tuangkanlah air sedikit demi sedikit.

Wallahu Subhanahu a’lam.

Nota kaki:

 

والله أعلمُ بالـصـواب

Download Sumber

 

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *