[ UIC 14 ] – Tazkiyatun Nufus 56

Bab 56 – Keutamaan Lapar, Hidup Serba Kasar, Cukup Dengan Sedikit Saja Dalam Hal Makan, Minum, Pakaian Dan Lain-lain Dari Ketentuan-ketentuan Badan Serta Meninggalkan Kesyahwatan-kesyahwatan (Keinginan-keinginan Jasmaniyah)

Allah Ta’ala berfirman:

“Kemudian mereka digantikan oleh sesuatu angkatan yang meninggalkan shalat dan memperturutkan keinginan nafsu, maka oleh sebab itu, mereka akan menemui kebinasaan. Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta beramal shalih, maka mereka itu akan memasuki syurga dan tidak dianiaya sedikitpun.” (Maryam: 59-60) Allah Ta’ala berfirman pula:

“Kemudian keluarlah ia – yakni Qarun – pada kaumnya dengan perhiasannya – yang indah-indah. Orang yang menghendaki kehidupan dunia berkata: “Wahai, kiranya kita mempunyai seperti apa yang diberikan kepada Qarun, sesungguhnya ia mempunyai bahagian keuntungan yang besar – yakni bernasib baik sekali. Tetapi orang-orang yang dikurniai ilmu pengetahuan berkata: “Celaka engkau semua itu, pahala dari Allah adalah lebih baik untuk orang yang beriman dan beramal shalih.” (al-Qashash: 79-80)

Juga Allah Ta’ala berfirman:

“Kemudian pada hari itu – yakni hari kiamat, nescayalah engkau semua akan ditanya tentang kesenangan – dunia.” (at-Takatsur: 8)

Allah Ta’ala berfirman lagi:

“Barangsiapa yang menginginkan kehidupan yang sekarang, maka Kami segerakan – memberikan – kepadanya apa yang Kami kehendaki, untuk orang yang Kami sukai, kemudian Kami jadikan untuknya neraka jahannam, ia masuk ke dalamnya dalam keadaan tercela dan dihalaukan – terusir.” (al-lsra’: 18)

Ayat-ayat dalam bab ini banyak sekali dan dapat dimaklumi.

489. Dari Aisyah radhiallahu ‘anha, katanya: “Tidak pernah kenyang keluarga Muhammad s.a.w. itu dari roti gandum selama dua hari terus-menerus, keadaan sedemikian ini sampai beliau s.a.w. dicabut ruhnya.” (Muttafaq ‘alaih)

Dalam riwayat lain disebutkan:

“Tidak pernah kenyang keluarga Muhammad s.a.w. itu sejak beliau datang di Madinah dari makanan gandum selama tiga hari berturut-turut, sehingga beliau dicabut ruhnya – wafat.”

490. Dari Urwah dari Aisyah radhiallahu ‘anha, bahawasanya Aisyah pernah berkata: “Demi Allah, hai anak saudaraku, sesungguhnya kita melihat ke bulan sabit, kemudian timbul pula bulan sabit, kemudian timbul pula bulan sabit. Jadi tiga bulan sabit yang bererti dalam dua bulan lamanya, sedang di rumah-rumah keluarga Rasulullah s.a.w. tidak pernah ada nyala api.” Saya – yakni Urwah -berkata: “Hai bibi, maka apakah yang dapat menghidupkan anda sekalian?” Aisyah radhiallahu ‘anha menjawab: “Dua benda hitam, iaitu kurma dan air belaka, hanya saja Rasulullah s.a.w. mempunyai beberapa tetangga dari kaum Anshar, mereka itu mempunyai beberapa ekor unta manihah, [49] lalu mereka kirimkanlah air susunya itu kepada Rasulullah s.a.w. kemudian memberikan minuman itu kepada kita.” (Muttafaq ‘alaih)

491. Dari Said al-Maqburi dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya ia berjalan melalui kaum yang di hadapan mereka itu ada seekor kambing yang sedang dipanggang. Mereka memanggilnya, tetapi ia enggan untuk ikut memakannya dan ia berkata: “Rasulullah s.a.w. keluar dari dunia – yakni wafat – dan tidak pernah kenyang dari roti gandum.” (Riwayat Bukhari)

492. Dari Anas r.a., katanya: “Nabi s.a.w. itu tidak pernah makan di atas meja sehingga beliau wafat, juga tidak pernah makan roti yang diperhaluskan buatannya sehingga beliau wafat.” (Riwayat Bukhari)

Dalam riwayatnya Imam Bukhari yang lain disebutkan: “Juga beliau s.a.w. tidak pernah melihat kambing yang disamit dengan matanya sama sekali,” disamit ertinya dihilangkan bulu-bulunya lalu dibakar dengan kulitnya sekali. [50]

493. Dari an-Nu’man bin Basyir radhiallahu ‘anhuma, katanya: “Sungguh-sungguh saya pernah melihat Nabimu semua s.a.w. dan beliau tidak mendapatkan kurma bermutu rendah pun yang dapat digunakan untuk mengisi perutnya.” (Riwayat Muslim)

Daqal adalah kurma yang bermutu rendah.

494. Dari Sahal bin Sa’ad r.a., katanya: “Rasulullah s.a.w. tidak pernah melihat roti putih sama sekali sejak beliau di utus oleh Allah Ta’ala sehingga dicabut ruhnya oleh Allah Ta’ala. Kepada Sahal ini ditanyakan: “Apakah di zaman Rasulullah s.a.w. itu engkau semua tidak mempunyai alat pengayak?” Ia menjawab: “Rasulullah s.a.w. tidak pernah melihat alat pengayak itu sejak beliau diutus oleh Allah Ta’ala sehingga dicabut ruhnya oleh Allah Ta’ala.” Kepadanya ditanyakan lagi: “Bagaimana caranya engkau semua makan gandum kalau tidak diayak?” Ia menjawab: “Kita semua menumbuknya dan meniupkannya,kemudian berterbanganlah benda-benda yang dapat terbang daripadanya itu lalu mana yang tertinggal, maka itulah yang kami basahi untuk dijadikan adukan tepung-untuk membuat roti.” (Riwayat Bukhari)

Ucapannya Annaqi dengan fathahnya nun dan kasrahnya qaf serta syaddahnya ya’ iaitu roti yang berwarna putih dan itulah yang disebut darmak.

Tsarrainahu dengan tsa’ mutsallatsah kemudian ra’ musyaddadah lalu ya’ mutsannat di bawahnya, lalu nun, ertinya kita basahi dan kita jadikan adukan tepung – guna membuat roti.

495. Dari Abu Hurairah r.a., katanya: “Rasulullah s.a.w. pada suatu hari atau suatu malam keluar, kemudian tiba-tiba bertemu dengan Abu Bakar dan Umar radhiallahu ‘anhuma, lalu beliau bertanya: “Apakah yang menyebabkan engkau berdua keluar ini?” Keduanya menjawab: “Kerana lapar ya Rasulullah.” Beliau lalu bersabda: “Ada pun saya, demi Zat yang jiwaku ada di dalam genggaman kekuasaanNya, nescayalah yang menyebabkan saya keluar ini adalah sesuatu yang juga menyebabkan engkau berdua keluar itu – yakni sama-sama kerana lapar – Ayuhlah pergi.” Keduanya pergi bersama beliau s.a.w., lalu mendatangi seorang lelaki dari kaum Anshar, tiba-tiba lelaki itu tidak sedang di rumahnya. Ketika isterinya melihat Nabi s.a.w., lalu berkata: Marhaban wa ahlan. Selamat datang di rumah ini dan harap mendapatkan keluarga yang baik. Rasulullah s.a.w. lalu bertanya: “Di mana Fulan – suamimu?” Isterinya menjawab: “Ia pergi mencari air tawar untuk kita.” Tiba-tiba di saat itu orang Anshar – suaminya itu – datang. Ia melihat kepada Rasulullah s.a.w. dan kedua orang sahabatnya, kemudian berkata: “Alhamdulillah. Tiada seorang pun yang pada hari ini mempunyai tamu-tamu yang lebih mulia daripada saya sendiri. Orang itu lalu pergi kemudian datang lagi menemui tamu-tamunya itu dengan membawa sebuah batang kurma – berlubang – berisikan kurma berwarna, kurma kering dan kurma basah. la pun berkata: “Silakanlah makan.” Selanjutnya ia mengambil pisau,lalu Rasulullah s.a.w. bersabda: “Jangan menyembelih yang mengandung air susu.” Orang Anshar itu lalu menyembelih untuk tamu-tamunya itu, kemudian mereka makan kambing itu, juga kurma dari batang kurma tadi serta minum pulalah mereka. Setelah semuanya itu kenyang dan segar-tidak kehausan-lalu Rasulullah s.a.w. bersabda: “Demi Zat yang jiwaku ada di dalam genggaman kekuasaanNya, nescayalah engkau semua akan ditanya dari kenikmatan yang engkau semua rasakan ini pada hari kiamat.

Engkau semua dikeluarkan dari rumahmu oleh kelaparan. Kemudian engkau semua tidak kembali sehingga engkau semua memperolehi kenikmatan ini.” (Riwayat Muslim)

Ucapannya yasta’dzibu ertinya mencari air tawar dan itulah air yang bagus. Al-‘izdqu dengan kasrahnya ‘ain dan sukunnya dzal mu’jamah, iaitu batang atau dahan – kurma dan lain-lain. Almud-yatu dengan dhammahnya mim atau boleh pula dikasrahkan, iaitu pisau. Alhalub ialah binatang yang berisikan susu dalam teteknya.

Pertanyaan mengenai kenikmatan ini adalah pertanyaan tentang banyak jumlahnya kenikmatan, bukan pertanyaan sebagai olok-olok dan penyiksaan.

Wallahu a’lam.

Adapun orang Anshar yang didatangi oleh Rasulullah s.a.w. serta kedua orang sahabatnya itu ialah Abul Haitsam bin at-Taihan. Demikianlah dalam sebuah Hadis yang dijelaskan menurut riwayat Tirmidzi dan lain-lain.

496. Dari Khalid bin Umar al-Adawi, katanya: “Utbah bin Ghazwan berkhutbah kepada kita dan ia adalah menjabat sebagai gabernor di Bashrah. Ia bertahmid kepada Allah serta memujiNya, kemudian berkata: “Amma ba’du, sesungguhnya dunia ini sudah memberitahukan akan kerosakannya dan akan menyingkir dengan cepatnya, maka daripadanya itu tidak akan tertinggal melainkan sisanya yang sedikit sekali, sebagaimana sisanya wadah yang dikumpulkan isinya itu oleh pemiliknya. Sesungguhnya engkau semua pasti berpindah dari dunia ini, ke perumahan yang tidak akan ada lenyapnya -yakni kekal. Maka dari itu berpindahlah dengan sebaik-baik bekal yang ada padamu semua. Sesungguhnya saja telah disebutkan kepada kita – oleh Nabi s.a.w. – bahawa sebuah batu yang dilemparkan dari tepi Jahanam itu lalu jatuh ke dalamnya sampai selama tujuh puluh tahun, tetapi belum lagi mencapai dasarnya. Demi Allah, nescayalah Jahanam itu benar-benar akan dipenuhi, adakah engkau semua hairan tentang itu? Juga nescayalah telah disebutkan kepada kita bahawasanya antara dua daun pintu dari beberapa daun pintu syurga itu adalah berjarak sejauh perjalanan empat puluh tahun. Nescayalah pula akan datang terhadap syurga itu suatu hari bahawa ia menjadi penuh padat kerana sesaknya – yakni berjejal-jejal orang hendak memasukinya. Saya sendiri telah mengalami bahawa diri saya termasuk yang ketujuh dari tujuh orang yang menyertai Rasulullah s.a.w., yang kita tidak memiliki makanan apapun, melainkan daun-daunan pohon, sehingga banyaklah luka-luka yang timbul di rahang kita, kemudian saya mendapatkan selembar kain, lalu saya sobeklah kain itu untuk dibahagikan antara saya sendiri dengan Sa’ad bin Malik, jadi saya bersarung dengan separuh kain itu dan Sa’ad juga bersarung dengan separuhnya lagi.

Selanjutnya pada hari ini, seseorang di antara kita berdua itu tidaklah menjabat melainkan sebagai seorang gabernor dari sebuah daerah dari sekian banyak daerah yang ada. Sesungguhnya saya mohon perlindungan kepada Allah kalau saya merasa dalam diri sendiri itu sebagai orang yang agung, sedang di sisi Allah hanyalah kecil belaka.” (Riwayat Muslim)

Ucapannya adzanat, dengan madnya alif, ertinya memberitahukan. Shurmun dengan dhammahnya dhad iaitu putus atau lenyap Wallat hadzdzaa dengan ha’ muhmalah yang difathahkan lalu dzal mu’jamah musyaddadah lalu alif mamdudah, ertinya cepat. Ashshubabah dengan dhammahnya shad muhmalah, ertinya sisa yang sedikit. Yatashabbuba dengan syaddahnya ba’ sebelum ha’ ertinya mengumpulkannya. Alkazhizh, ertinya yang banyak serta penuh padat. Qarihat dengan fathahnya qaf dan kasrahnya ra’, ertinya di tempat itu banyak luka-lukanya.

497. Dari Abu Musaal-Asy’ari r.a., katanya: “Aisyah radhiallahu ‘anha mengeluarkan untuk kita – maksudnya agar kita dapat melihatnya – sebuah baju dan sarung kasar, lalu ia berkata: “Rasulullah s.a.w. dicabut ruhnya sewaktu mengenakan kedua pakaian ini.” (Muttafaq ‘alaih)

498. Dari Sa’ad bin Abu Waqqash r.a., katanya: “Sesungguhnya saya itu nescayalah pertama-tama orang Arab yang melempar dengan panahnya fi-sabilillah. Kita semua waktu itu berperang beserta Rasulullah s.a.w. dan kita tidak mempunyai makanan sedikit pun melainkan daun pohon hublah dan daun pohon samurini, sehingga seseorang dari kita itu nescayalah mengeluarkan kotoran besar sebagaimana keadaan kambing kalau mengeluarkan kotoran besarnya dan tidak dapat bercampur dengan lainnya – yakni bulat-bulat serta kering, kerana tidak ada yang dimakan.” (Muttafaq ‘alaih)

Alhublah dengan dhammahnya ha’ dan sukunnya ba’ muwah-hadah, juga samur adalah dua macam pohon-pohonan yang terkenal di daerah badiah yakni tanah Arab bahagian pedalaman.

499. Dari Abu Hurairah r.a., katanya: “Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Ya Allah, jadikanlah rezeki keluarga Muhammad ini makanan sekadar menutup kelaparan.” (Muttafaq ‘alaih)

Ahli lughat dan gharib – yakni yang memperbincangkan mufradat dari al-Quran dan al-Hadis – mengatakan, bahawa ertinya qut ialah sesuatu yang dimakan untuk menutup sisa hidup.

500. Dari Abu Hurairah r.a., katanya: “Demi Zat yang tiada Tuhan melainkan Dia, sesungguhnyaiah bahawa saya menyandarkan hatiku ke bumi kerana kelaparan dan sesungguhnya pula bahawa saya mengikatkan batu pada perut saya kerana kelaparan. Sebenarnya saya pernah duduk-duduk pada suatu hari di jalanan orang-orang yang sama keluar melalui jalanan itu – untuk mencari nafkahnya masing-masing. Kemudian Nabi s.a.w. berjalan melalui tempat saya dan beliau tersenyum ketika melihat saya, kerana mengetahui keadaan dan hal-ehwal yang ada dalam wajahku dan diriku, kemudian beliau bersabda: “Abu Hir.” Saya menjawab: “Labbaik ya Rasulullah.” Beliau bersabda lagi: “Mari ikut,” dan beliau terus berlalu dan saya mengikutinya. Selanjutnya beliau masuklah di rumah keluarganya, saya mohon izin lalu beliau mengizinkan masuk untukku. Saya pun masuklah, di situ beliau menemukan susu dalam gelas. Beliau bertanya: “Dari manakah susu ini?” Keluarganya berkata: “Fulan atau Fulanah itu menghadiahkan untuk Tuan.” Beliau bersabda: “Abu Hir.” Saya menjawab: “Labbaik ya Rasulullah.” Beliau bersabda pula: “Susullah para ahlush-shuffah, lalu panggillah mereka untuk datang padaku.”

Abu Hurairah berkata: “Ahlush-shuffah itu adalah merupakan tamu-tamu Islam, kerana tidak bertempat pada sesuatu keluarga, tidak pula berharta dan tidak berkerabat pada seseorang pun. Jikalau ada sedekah – zakat – yang datang pada Nabi s.a.w. lalu sedekah -atau zakat – itu dikirimkan semuanya oleh beliau kepada mereka itu dan beliau sendiri tidak mengambil sedikitpun daripadanya, tetapi kalau beliau menerima hadiah, maka dikirimkanlah kepada orang-orang itu dan beliau sendiri mengambil sebahagian daripadanya. Jadi beliau bersama-sama dengan para ahlush-shuffah itu untuk menggunakannya.”

Perintah Nabi s.a.w. memanggil ahlush-shuffah itu tidak mengenakkan hati saya dan oleh sebab itu saya berkata: “Apa hubungannya susu ini untuk diberikan ahlush-shuffah. Saya adalah lebih berhak untuk memperolehi susu ini dengan sekali minuman saja, agar saya dapat merasa kuat tubuhku.” Kemudian, jikalau orang-orang itu datang, Nabi s.a.w. tentu menyuruh saya agar saya memberikan itu kepada mereka. Barangkali tidak akan dapat sampai padaku – yakni bahawa saya tidak memperolehi bahagian – susu itu, tetapi juga tidak ada jalan lain kecuali mentaati Allah dan mentaati RasulNya s.a.w. Oleh kerana itu mereka saya datangi dan saya panggillah semuanya. Mereka menghadap dan meminta izin, lalu Nabi s.a.w. mengizinkan mereka masuk, juga sama mengambil tempat duduk sendiri-sendiri dalam rumah.

Beliau lalu bersabda: “Abu Hir.” Saya menjawab: “Labbaik ya Rasulullah.” Beliau bersabda lagi: “Ambillah susu itu dan berikanlah kepada mereka.”

Abu Hurairah berkata: “Saya lalu mengambil gelas, kemudian saya berikan pada seseorang dulu. Ia minum sampai kenyang minumnya lalu gelas dikembalikan. Seterusnya saya berikan kepada yang lain, ia pun minumlah sampai kenyang pula minumnya, lalu dikembalikanlah gelasnya, sehingga akhirnya sampai giliran saya memberikan itu kepada Nabi s.a.w., sedang orang-orang ahlush-shuffah itu sudah puas minum semuanya. Beliau s.a.w. mengambil gelas lalu diletakkan di tangannya, kemudian beliau melihat saya dan tersenyum, kemudian bersabda: “Abu Hir.” Saya menjawab: “Labbaik ya Rasulullah.” Beliau bersabda pula: “Sekarang tinggallah saya dan engkau – yang belum minum.” Saya menjawab: “Benar Tuan, ya Rasulullah.” Beliau bersabda: “Duduklah dan minumlah.” Saya pun duduklah lalu saya minum. Beliau bersabda lagi: “Minumlah lagi.” Saya pun minumlah. Beliau tidak henti-hentinya bersabda: “Minumlah lagi,” sehingga saya berkata: “Tidak, demi Allah yang mengutus Tuan dengan benar, saya sudah tidak mendapatkan jalan lagi untuk minum itu – ertinya sudah amat kenyang minumnya itu. Setelah itu beliau bersabda: “Kalau begitu, berikanlah saya gelas itu “Gelaspun saya berikan, kemudian beliau memuji kepada Allah Ta’ala dan membaca bismillah di permulaan minumnya lalu beliau minumlah sisanya itu.” (Riwayat Bukhari)

501. Dari Muhammad bin Sirin dari Abu Hurairah r.a., katanya: “Nescayalah saya pernah mengalami diriku bahawa saya jatuh tersungkur antara mimbarnya Rasulullah s.a.w. dengan biliknya Aisyah radhiallahu ‘anha sampai tidak sedarkan diri. Kemudian datanglah padaku seseorang yang datang, lalu ia meletakkan kakinya di atas leher saya dan ia menyangka bahawa sesungguhnya saya adalah orang gila, padahal saya tidaklah kejangkitan penyakit gila, tetapi jatuh saya tadi hanyalah kerana kelaparan.” (Riwayat Bukhari)

502. Dari Aisyah radhiallahu ‘anha, katanya: “Rasulullah s.a.w. wafat sedang baju besinya sedang digadaikan pada seorang Yahudi dengan nilai tiga puluh sha’ – gantang – dari gandum.” (Muttafaq ‘alaih)

503. Dari Anas r.a., katanya: “Nabi s.a.w. menggadaikan baju besinya dengan gandum dan saya berjalan ke tempat Nabi s.a.w. dengan membawa roti gandum dan lemak cair yang sudah berubah keadaannya. Sungguh-sungguh saya mendengar beliau s.a.w. bersabda: “Tiada sesuatu pun pada pagi-pagi ini melainkan hanya segantang untuk para keluarga Muhammad dan tidak ada untuk petang harinya nanti kecuali segantang pula.” Padahal seluruh keluarganya itu adalah sembilan rumah.” (Riwayat Bukhari)

504. Dari Abu Hurairah r.a., katanya: sungguh-sungguh saya telah melihat tujuh puluh orang dari golongan ahlush-shuffah -kaum fakir miskin di Madinah, tiada seorang pun di antara mereka itu yang berselendang. Ada kalanya mengenakan sarung dan ada kalanya pula baju. Mereka mengikatkan itu pada leher-lehernya.

Di antaranya ada yang sampai pada separuh kedua betisnya dan di antaranya ada yang sampai pada kedua mata kakinya, lalu dikumpulkan – kedua belahannya itu – kerana enggan kalau sampai terlihat auratnya.” (Riwayat Bukhari)

505. Dari Aisyah radhiallahu ‘anha, katanya: “Hamparan Rasulullah s.a.w. itu terbuat dari kulit dan isinya adalah sabut.” (Riwayat Bukhari)

506. Dari Ibnu Umar radhiallahu ‘anhuma, katanya: “Kita semua duduk-duduk bersama Rasulullah s.a.w., tiba-tiba datanglah seorang lelaki dari kaum Anshar, lalu ia memberi salam pada beliau itu. kemudian orang Anshar tadi menyingkir. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Hai saudara kaum Anshar, bagaimanakah keadaan saudaraku Sa’ad [51] bin Ubadah?” Orang itu menjawab: “Baik saja.” Beliau s.a.w, bersabda lagi: “Siapakah di antara engkau semua yang meninjaunya?” Kemudian beliau s.a.w. berdiri dan kita pun berdiri bersamanya dan kita berjumlah sepuluh orang lebih – tiga sampai sembilan. Kita semua yang pergi itu tidak berterompah, tidak pula bersepatu, bersongkok ataupun bergamis, sedangkan kita berjalan di tempat yang tandus, hampir tidak ada tanamannya, sehingga datanglah kita di tempatnya. Kaumnya Sa’ad bin Ubadah lalu mundur dari sekelilingnya, sehingga mendekatlah Rasulullah serta semua sahabat yang menyertainya.” (Riwayat Muslim)

507. Dari Imran bin al-Hushain radhiallahu ‘anhuma dari Nabi s.a.w., sabdanya:

“Sebaik-baik engkau sekalian adalah orang-orang yang sekurun – semasa – denganku, kemudian yang mengikutinya – yang datang sesudahnya – kemudian orang-orang yang mengikutnya.” Imran berkata: “Saya tidak tahu, adakah Nabi s.a.w. mengucapkannya itu dua atau tiga kali.”

Nabi s.a.w. selanjutnya menyabdakan:

“Kemudian akan datanglah sesudah mereka itu sesuatu kaum yang menjadi saksi, tetapi tidak dapat dipercayai kesaksiannya. Mereka juga berkhianat dan tidak dapat dipercayai amanatnya, demikian pula mereka bernazar, tetapi tidak suka memenuhi nazarnya dan nampaklah kegemukan dalam tubuh mereka,” – yakni gemuk yang disebabkan kerana terlampau banyak makan, minum dan bersenang-senang dan bukan gemuk kerana kejadiannya memang gemuk.” (Muttafaq ‘alaih)

508. Dari Abu Umamah r.a., katanya: “Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Hai anak Adam, sesungguhnya jikalau engkau memberikan apa-apa yang kelebihan padamu, sebenarnya hal itu adalah lebih baik untukmu dan jikalau engkau tahan – tidak engkau berikan siapa pun, maka hal itu adalah menjadikan keburukan untukmu. Engkau tidak akan tercela kerana adanya kecukupan – maksudnya menurut syariat engkau tidak akan dianggap salah, jikalau kehidupanmu itu dalam keadaan yang cukup dan tidak berlebih-lebihan. Lagi pula mulailah – dalam membelanjakan nafkah – kepada orang yang wajib engkau nafkahi.”

Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi dan ia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan shahih.

509. Dari Ubaidullah bin Mihshan al-Anshari al-Khathmi r.a., katanya: “Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Barangsiapa di antara engkau semua telah merasa aman – dari musuhnya – dalam dirinya, sihat dalam tubuhnya, memiliki keperluan hidup – makan, minum, ubat dan apa-apa yang diperlukan dalam kehidupannya – pada hari itu, maka ia telah dikurniai dunia dengan keseluruhan isinya.”

Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi dan ia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan.

Sirbihi dengan kasrahnya sin muhmalah ertinya ialah dirinya, ada yang mengatakan bahawa ertinya itu ialah kaumnya.

510. Dari Abdullah bin ‘Amr bin al-‘Ash radhiallahu ‘anhuma bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Sungguh berbahagialah orang yang masuk Agama Islam serta diberi rezeki cukup dan diberi sifat qana’ah – suka menerima -dengan apa-apa yang telah dikurniakan oleh Allah.” (Riwayat Muslim)

511. Dari Abu Muhammad iaitu Fadhalah bin Ubaid al-Anshari r.a. bahawasanya ia mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Untung besarlah kehidupan seseorang yang telah dikurnia petunjuk untuk memasuki Agama Islam, sedang hidupnya itu adalah dalam keadaan cukup dan pula ia bersifat qana’ah – menerima.”

Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi dan ia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan shahih.

512. Dari Ibnu Abbas radhiallahu ‘anhuma, katanya: “Rasulullah s.a.w. dalam beberapa malam yang berturut-turut itu bermalam dalam keadaan terlipat – maksudnya terlipat perutnya kerana lapar, sedang para keluarganya tidak mendapatkan sesuatu untuk makan malam, juga sebahagian banyak roti yang dimakan itu adalah roti terbuat dari gandum.”

Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi dan ia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan shahih.

513. Dari Fadhalah bin Ubaid r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. itu apabila bersembahyang dengan para manusia, maka ada beberapa orang lelaki yang jatuh tersungkur dari berdiri mereka itu ketika dalam shalatnya, disebabkan kerana kefakiran yang sangat -yakni kerana sangatnya kelaparan sehingga tidak kuat berdiri. Mereka itu adalah ahlush-shuffah, sehingga orang A’rab – orang-orang Arab dari pedalaman – mengatakan bahawa mereka itu adalah orang-orang gila. Kemudian apabila Rasulullah s.a.w. telah selesai bersembahyang, lalu menghadap ke arah mereka itu dan berkata: “Andaikata engkau semua mengetahui apa yang disediakan untukmu semua di sisi Allah Ta’ala, nescayalah engkau semua senang kalau engkau semua bertambah kefakiran dan hajatnya – dari sekarang ini.

Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi dan ia mengatakan bahawa ini adalah Hadis shahih.

Alkhashashah ialah kekurangan dan kelaparan yang sangat.

514. Dari Abu Karimah, iaitu al-Miqdad bin Ma’dikariba r.a., katanya: “Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Tidaklah seseorang memenuhi sesuatu wadah yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah sebenarnya seseorang itu makan beberapa suapan yang dapat mendirikan – menguatkan -tulang rusuknya. Maka jikalau makanan itu harus diisikannya, maka sepertiga hendaklah untuk makanannya dan sepertiga untuk minumannya dan sepertiga lagi untuk pernafasannya.”

Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi dan ia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan shahih.

515. Dari Abu Umamah, iaitu lyas bin Tsa’laba al-Anshari al-Harits r.a., katanya: “Para sahabat Rasulullah s.a.w. pada suatu hari menyebut-nyebutkan di sisi beliau itu tentang hal dunia – yakni perihal kesenangan, kekayaan dan lain-lain. Kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tidakkah engkau semua mendengar, tidakkah engkau semua mendengar bahawa badzadzah itu termasuk keimanan, bahawa badzadzah itu termasuk keimanan.” Yakni taqahhul. (Riwayat Abu Dawud)

Albadzadzah dengan ba’ muwahhadah dan dua dzal yang mu’jamah ertinya ialah keadaan yang serba kusut dan meninggalkan pakaian yang indah-indah. Adapun taqahhul, dengan qaf dan ha’ maka para ahli Lughat mengatakan bahawa orang yang bertaqahhul ialah orang yang kering kulitnya kerana keadaan hidupnya yang serba kasar dan meninggalkan kemewahan – dalam segala hal.

516. Dari Abu Abdillah bin Jabir bin Abdullah radhiallahu ‘anhuma, katanya: “Kita dikirimkan oleh Rasulullah s.a.w. – ke medan peperangan – dan mengangkat Abu Ubaidah r.a. sebagai amir – panglima – untuk memimpin kita, guna menemui kafilah orang-orang Quraisy. Kita semua membawa bekal sebuah tempat berisi kurma dan kita tidak menemukan selain itu. Abu Ubaidah memberikan kita sekurma demi sekurma. Kepada kita ditanyakan – oleh orang lain: “Bagaimanakah engkau semua berbuat dengan sebiji kurma itu.” Jawabnya: “Kita mengisapnya sebagaimana seorang anak bayi mengisap tetek. Kemudian kita minum air setelah itu. Keadaan sedemikian ini mencukupi kita untuk sehari itu sampai malam. Kita juga memukul daun-daunan dengan tongkat-tongkat kita, lalu kita basahi dengan air, kemudian kita makanlah itu. Seterusnya kita berangkat ke pantai laut, lalu tampaklah di atas kita di pantai laut tadi, seolah-olah seperti tumpukan pasir yang besar, lalu kita pun mendatanginya. Tiba-tiba yang nampak itu adalah seekor binatang yang dinamakan ikan lodan – hiu. Abu Ubaidah lalu berkata: “Bangkai,” kemudian ia berkata lagi: “Oh tidak – maksud-nya tidak haram diambil dagingnya untuk dimakan. Bahkan kita ini adalah utusan-utusan dari Rasulullah s.a.w. dan dalam berjuang fisabilillah. Engkau semua adalah dalam keadaan terpaksa. Maka dari itu makanlah olehmu semua.” Kita semua berdiam – sambil makan ikan tersebut – dalam waktu sebulan lamanya dan jumlah kita seluruhnya adalah tiga ratus orang, sehingga kita semua pun menjadi gemuklah. Nescayalah saya melihat bahawa kita semua menceduk dari lubang matanya itu dengan beberapa gayung akan minyaknya dan kita memotong daripadanya itu beberapa potongan daging sebesar lembu atau sekira selembu-selembu besarnya. Sungguh-sungguh Abu Ubaidah menyuruh seseorang dari kita sebanyak tiga belas orang, diperintah olehnya supaya duduk dalam lubang matanya dan supaya mengambil tulang rusuknya, lalu ditegakkan dan dimuatkan pada unta yang terbesar yang ada beserta kita. Ia berjalan di bawahnya. Kita juga mengambil bekal dari dagingnya yang telah dikeringkan – dijadikan dendeng.

Setelah kita semua datang di Madinah, kita mendatangi Rasulullah s.a.w., lalu kita ceriterakanlah hal itu kepada beliau, lalu beliau bersabda: “Itu adalah rezeki yang dikeluarkan oleh Allah untukmu semua. Adakah engkau semua membawa sedikit dagingnya, supaya dapat memberikan sedekahnya untuk makanan kita?” Kita semua mengirimkan kepada Rasulullah s.a.w. sebahagian dagingnya itu, kemudian beliau s.a.w. memakannya.” (Riwayat Muslim)

Aljirab ialah wadah dari kulit yang sudah dapat dimaklumi. Lafaz ini dibaca dengan kasrahnya jim atau boleh pula dengan fathahnya, tetapi dengan kasrah adalah lebih fashih. Namashshuha dengan fathahnya mim. Alkhabath ialah daun-daunan dari pohon yang dikenal dan dimakan oleh unta. Alkatsib ialah timbunan dari pasir. Alwaqbu dengan fathahnya wawu dan saknahnya qaf dan sesudahnya itu ialah ba’ muwahhadah, ialah lubang mata. Alqilal ialah gayung. Aifidar dengan kasrahnya fa’ dan fathahnya dal iaitu beberapa potong. Rahala ba’ira iaitu memberikan beban pada unta. Alwasyaiq dengan syin mu’jamah dan qaf ialah daging yang dipotong-potong untuk dikeringkan.

Wallahu a’lam.

517. Dari Asma’ binti Yazid radhiallahu ‘anhuma, katanya: “Hujung lengan baju gamisnya Rasulullah s.a.w. itu adalah sampai di pergelangan tangan.”

Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi dan ia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan shahih.

Arush-ghu dengan menggunakan shad dan Arrus-ghu dengan menggunakan sin, juga boleh, ertinya ialah pergelangan antara tapak tangan dengan lengan tangan bahagian bawah.

518. Dari Jabir r.a., katanya: “Sesungguhnya kita semua pada hari khandak – menggali tanah untuk perlindungan diri sebelum timbulnya peperangan dan peperangan di waktu itu disebut perang khandak, ertinya parit, kita semua menggali. Kemudian pada penggalian itu terhalang oleh adanya gumpalan tanah yang keras. Para sahabat satna mendatangi Nabi s.a.w., lalu berkata: “Tanah keras ini menghalang-halangi untuk kelanjutan penggalian parit.” Beliau s.a.w. lalu bersabda: “Saya akan turun.” Selanjutnya beliau s.a.w. terus berdiri, sedang perut beliau itu diikat di situ dengan sebuah batu – kerana kelaparan. Kita semua memang sudah selama tiga hari itu tidak merasakan rasa makanan apa pun. Nabi s.a.w. lalu mengambil cangkul, terus memukulnya, maka kembalilah tanah keras itu bagaikan tumpukan pasir yang hancur-lebur. Kemudian saya berkata: “Ya Rasulullah, berilah saya izin untuk pulang ke rumah.” Seterusnya saya lalu berkata kepada isteriku: “Saya telah melihat sesuatu dalam diri Nabi s.a.w. – yakni pengganjalan perut dengan batu itu – yang tidak dapat disabarkan lagi. Maka adakah engkau mempunyai sesuatu – yang dapat dimakan?” Isterinya menjawab: “Saya mempunyai gandum dan kambing betina. Kambing itu lalu saya sembelih,sedang isteriku menumbuk gandum, sehingga dagingnya itu kita letakkan dalam periuk. Kemudian saya mendatangi Nabi s.a.w., sedangkan adukan makanan itu telah pecah – yakni sudah lumat dan halus – dan kuali yang ada di antara batu-batu itu telah hampir masak isinya. Saya berkata kepada beliau s.a.w.: “Saya mempunyai sedikit makanan ya Rasulullah, maka dari itu silakan Tuan berdiri – yakni pergi ke tempat saya – bersama seorang atau dua orang saja. Beliau bertanya: “Berapa banyaknya itu?” Saya menyebutkan sebagaimana adanya – yakni kambing dengan gandum yang cukup untuk beberapa orang saja. Beliau s.a.w. lalu bersabda: “Banyak itu dan enak sekali, Katakanlah kepada isterimu, janganlah diangkat dulu periuknya, juga jangan pula diambil roti itu dari dapur, sehingga saya datang nanti.” Seterusnya beliau s.a.w. bersabda: “Berdirilah engkau semua,” maka berdirilah semua kaum Muhajirin dan Anshar – yang ikut membuat parit. Saya masuk kepada isteriku lalu saya berkata: “Celaka ini. Nabi s.a.w. datang dengan semua kaum Muhajirin dan Anshar, jadi semua yang menyertainya.” Isterinya berkata: “Adakah beliau menanyakan banyaknya makanan?” Saya berkata: “Ya.” [52]

Seterusnya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Masuklah engkau sekalian dan jangan berebut-rebut.” Beliau s.a.w. mulai memotong roti dan diberikanlah pula di situ dagingnya dan selalu menutupi periuk dan dapur itu apabila beliau mengambil daripadanya dan mendekatkan kepada sahabat-sahabatnya itu, kemudian ditariklah kualinya itu -sesudah diambilkan isinya. Tidak henti-hentinya beliau s.a.w. memotong roti itu dan menciduk kuah sehingga sekalian sahabatnya itu kenyang semua dan masih ada pula sisanya dalam kuali. Kemudian beliau s.a.w. bersabda: “Makanlah ini dan berikanlah hadiah – kepada orang-orang lain seperti tetangga, sebab sesungguhnya para manusia itu terkena bencana kelaparan. (Muttafaq ‘alaih)

Dalam riwayat lain disebutkan: Jabir berkata: “Ketika parit digali, maka saya melihat adalah kelaparan yang sangat dalam diri Nabi s.a.w. Lalu saya kembali ke tempat isteriku dan saya berkata: “Adakah engkau mempunyai sesuatu yang dapat dimakan?” kerana sesungguhnya saya melihat adanya kelaparan yang sangat dalam diri Rasulullah s.a.w.” Isteriku lalu mengeluarkan sebuah wadah yang di dalamnya ada segantang gandum, sedang kita juga mempunyai seekor binatang kambing kecil yang telah lulut. Binatang itu lalu saya sembelih dan isteriku menumbuk gandum. Isteriku telah selesai pekerjaannya sebagaimana saya pun selesai pula, lalu saya potonglah dalam kualinya, kemudian saya kembali menuju ke tempat Rasulullah s.a.w. Isteriku berkata: “Jangan engkau membuat aku nampak celaku, sebab hanya mempunyai makanan sedikit dan ini menunjukkan kemiskinannya – kepada Rasulullah s.a.w. dan orang-orang yang menyertainya nanti.” Selanjutnya saya lalu mendatangi Nabi s.a.w. dan saya membisikinya. Saya berkata: “Ya Rasulullah, kita menyembelih seekor kambing kecil untuk makanan kita dan saya juga telah menumbuk segantang gandum. Maka dari itu, silakan Tuan datang di tempat saya bersama beberapa orang saja yang akan menyertai Tuan.” Tiba-tiba Nabi s.a.w. berteriak dan bersabda: “Hai sekalian penggali parit, sesungguhnya Jabir telah membuat sesuatu hidangan yang akan dihidangkan kepada kita. Maka marilah kita semua ke rumahnya.” Kemudian Nabi s.a.w. bersabda – kepada -Jabir: “Janganlah sekali-kali engkau turunkan kualimu dan jangan pula dijadikan roti dulu adukan gandummu itu, sehingga saya datang.” Saya datang ke rumah dan Nabi s.a.w. juga datang sambil menyuruh orang-orang banyak datang pula ke situ. Begitulah saya akhirnya datang di tempat isteriku. Isteriku berkata: “Bagaimana engkau ini, bagaimana engkau ini,” maksudnya isterinya itu menyalahkan suaminya, mengapa membawa orang-orang sebanyak itu. Saya berkata: “Saya telah mengerjakan semua yang engkau katakan.” Isteriku lalu mengeluarkan adukan gandum kita, lalu Nabi s.a.w. berludah di dalamnya dan mendoakan keberkahannya, kemudian menuju ke tempat kuah kita, lalu berludah pula di situ dan juga mendoakan keberkahannya, kemudian bersabda: “Panggillah seorang tukang membuat roti, supaya ia dapat menolong membuat roti bersamamu – dan yang disuruh ini adalah isteri Jabir -dan pula ceduklah dari kualimu, tetapi janganlah kuali itu diturunkan.” Orang-orang yang datang di saat itu adalah sebanyak seribu orang. Saya bersumpah dengan nama Allah, nescayalah orang-orang itu semuanya dapat makan, sehingga mereka meninggalkannya dan pergi dari rumah saya itu, sedang sesungguhnya kuali kita masih tetap berbunyi kerana isinya yang mendidih sebagaimana tadinya -sebelum diambil isinya oleh orang-orang banyak, juga sesungguhnya adukan roti kita masih tetap menjadi roti – sebanyak asalnya.”

Ucapannya: Aradhat kud-yatun, dengan dhammahnya kaf dan sukunnya dal dan dengan ya’ yang mutsannat di bawahnya, ertinya ialah segumpal tanah yang keras dan tebal yang tidak dapat dicairkan oleh kapak. Atkatsib asalnya ialah tumpukan pasir dan yang dimaksudkan di sini ialah telah menjadi tanah yang halus, itulah ertinya lafaz ah-yala. At-atsafiyyu ialah batu-batu yang di atasnya itu diletakkan kuali untuk memasak. Tadhaghatbu ertinya berjejal-jejalan. Almaja’ah ialah kelaparan, dengan fathahnya mim. Al-khamash dengan fathahnya kha’ mu’jamah dan mim, ertinya ialah lapar. Inkafa’tu ertinya saya balik dan kembali. Albuhaimah dengan dhammahnya ba’ adalah tash-ghirnya lafaz bahmah, iaitu kambing betina, yakni al’anaq dengan fathahnya ‘ain. Addajin iaitu binatang yang sudah lulut di rumah. Assur ialah makanan yang diundanglah untuk memakannya itu beberapa orang dan kata ini adalah dari bahasa Parsi – Iran. Hayyahalan ertinya marilah.

Ucapannya bika wa bika ertinya bahawa isterinya itu membantah suaminya serta memakinya kerana ia meyakinkan bahawa makanan yang dimilikinya itu tentu tidak cukup untuk orang-orang sebanyak itu. Jadi wanita itu merasa malu dan agaknya tersamarlah untuknya apa yang dijadikan kemuliaan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala kepada NabiNya s.a.w. dari mu’jizat yang nyata dan pertanda yang jelas itu. Basaqa sama dengan basbaqa atau bazaqa yakni meludah dan ini ada tiga lughatnya, amada dengan fathahnya mim yakni sengaja atau bermaksud Iqdabl ertinya ciduklah,sedang atmiqdahab ertinya ceduk atau gayung, tagbitbtbu ertinya bahawa kerana mendidihnya itu keluarlah suaranya.

Wallahu a’lam.

519. Dari Anas r.a., katanya: “Abu Thalhah berkata kepada Ummu Sulaim: “Saya mendengar suara Rasulullah s.a.w. itu lemah sekali dan saya mengetahui bahawa beliau adalah dalam keadaan lapar. Maka dari itu, apakah engkau tidak mempunyai sesuatu untuk dimakan?” Ummu Sulaim lalu mengeluarkan beberapa bulatan dari gandum, kemudian ia mengambil kerudungnya, kemudian ia melipatkan roti dengan sebahagian kerudung tadi, lalu memasukkannya di bawah bajuku dan mengembalikannya padaku dengan sebahagian lagi – maksudnya bahawa Ummu Sulaim itu melipat roti dengan sebahagian kerudung dan dengan sebahagiannya lagi dilipatkan untuk Anas. Seterusnya Ummu Sulaim menyuruh saya – Anas – untuk menemui Rasulullah s.a.w., lalu saya pergi dan saya menemui Rasulullah s.a.w. sedang duduk di dalam masjid disertai oleh orang-orang banyak. Seterusnya lalu saya berdiri di muka orang-orang itu, kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda: “Adakah engkau diutus oleh Abu Thalhah.” Saya menjawab: “Ya.” Beliau bersabda lagi: “Apakah untuk sesuatu makanan?” Saya menjawab: “Ya.” Kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda kepada sahabat-sahabatnya yang ada di masjid: “Berdirilah engkau semua dan berangkatlah.” Saya juga berangkat mengikuti mereka itu, sehingga datanglah saya kepada Abu Thalhah, lalu saya memberitahukan padanya – bahawa Nabi s.a.w. mengajak orang banyak. Abu Thalhah berkata: “Hai Ummu Sulaim. Rasulullah s.a.w. telah datang dengan orang-orang banyak, sedangkan kita tidak mempunyai sesuatu untuk memberi makanan kepada mereka semuanya itu.” Isterinya berkata: “Allah dan RasulNya adalah lebih mengetahui itu.” Abu Thalhah lalu berangkat sehingga bertemu dengan Rasulullah s.a.w., kemudian berhadapanlah Rasulullah s.a.w. dengannya sehingga keduanya itu masuk rumah. Selanjutnya Rasulullah bersabda: “Bawa saya kemari apa yang engkau punyai, hai Ummu Sulaim.” Wanita itu datang dengan roti tersebut di atas, lalu Rasulullah s.a.w. menyuruh supaya dipotong-potongkan dan Ummu Sulaim memeraskan di atas roti itu suatu tempat berisi samin, maka itulah yang merupakan lauknya. Kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda sekehendak yang beliau sabdakan, selanjutnya lalu bersabda pula: “Izinkanlah masuk sepuluh orang.” Orang sepuluh itu diizinkan masuk lalu mereka semuanya makan sehingga kenyang, lalu keluarlah setelah itu. Seterusnya beliau bersabda lagi: “Izinkanlah masuk sepuluh orang lagi.” Orang sepuluh itu diizinkan lalu mereka makan sehingga kenyang kemudian keluarlah mereka itu pula. Beliau s.a.w. bersabda lagi: “Izinkanlah masuk sepuluh orang lagi.” Demikianlah sehingga seluruh kaum – yakni yang menyertai Nabi s.a.w. dari masjid – dapat makan sehingga kenyang semuanya, sedangkan jumlah kaum itu ada tujuh puluh atau delapan puluh orang.” (Muttafaq ‘alaih)

Dalam riwayat lain disebutkan: “Maka tidak henti-hentinya beliau s.a.w. memasukkan sepuluh orang dan mengeluarkan sepuluh orang, sehingga tidak seorang pun yang tertinggal, melainkan ia tentu telah makan sehingga kenyang, kemudian dikumpulkanlah kelebihan makanan itu, tetapi tiba-tiba banyaknya makanan tersebut adalah sama seperti keadaan ketika orang-orang banyak belum makan daripadanya itu.”

Dalam riwayat lain disebutkan pula: “Maka makanlah orang-orang itu sepuluh orang demi sepuluh orang, sehingga yang sedemikian itu dilaksanakan untuk sebanyak lapan puluh orang. Kemudian Nabi s.a.w. makanlah setelah orang-orang itu semuanya, juga semua keluarga rumah dan mereka masih meninggalkan sisa pula.”

Dalam riwayat lain lagi dikatakan: “Kemudian mereka masih meninggalkan sisa yang cukup untuk disampaikan kepada tetangganya.”

Dalam riwayat lainnya lagi dikatakan:

Dari Anas r.a., katanya: “Saya datang kepada Rasulullah s.a.w. pada suatu hari, kemudian saya menemui beliau s.a.w. itu sedang duduk dengan sahabat-sahabatnya dan di perutnya diikatkanlah dengan suatu ikatan – seperti batu dan lain-lain untuk menahan lapar. Lalu saya bertanya kepada salah seorang sahabatnya: “Mengapa Rasulullah s.a.w. mengikat perutnya.” Orang-orang sama berkata: “Kerana lapar.” Oleh sebab itu saya lalu pergi kepada Abu Thalhah, iaitu suaminya Ummu Sulaim binti Milhan, kemudian saya berkata: “Aduh bapa, saya sungguh-sungguh telah melihat Rasulullah s.a.w. mengikat perutnya dengan suatu ikatan, lalu saya bertanya kepada sebahagian sahabat-sahabatnya dan mereka mengatakan bahawa hal itu kerana beliau lapar.” Abu Thalhah lalu masuk menemui ibuku – yakni Ummu Sulaim, kemudian bertanya: “Adakah sesuatu – yang dapat dimakan?” Ummu Sulaim menjawab: “Ya, ada. Saya mempunyai beberapa potong roti dan beberapa buah kurma. Jika Rasulullah s.a.w. datang ke tempat kita sendirian, tentu dapatlah kita mengenyangkan beliau itu, tetapi jikalau beliau datang dengan disertai orang lain, maka makanan kita terlampau sedikit untuk dimakan orang-orang itu.” Seterusnya Anas menyebutkan kelengkapan Hadis ini.

Nota kaki:

[49] Mengenai pengertian apa yang disebul unta “manihah”, harap dilihat dalam Hadis no. 138

[50] Ini adalah yang biasa dimakan oleh golongan kaum hartawan yang gemar berfoya-foya.

[51] Sahabat Sa’ad bin Mu’az al-Anshari, yakni dari golongan kaum Anshar r.a. ini adalah pemimpin atau kepala suku atau kabilah Aus. Nama kun-yahnya ialah Abu ‘Amr. Dialah yang tercantumkan dalam sebuah Hadis shahih yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w., yaitu:

“Arasynya Allah yang Maha Pengasih telah bergoncang dengan sebab kematian Sa’ad bin Mu’az.”

Dalam hal ini ada beberapa ahli syair yang menggubahnya,di antaranya ialah yang berbunyi:

Tiada bergoncanglah arasy Allah sebab kematian seseorang yang meninggal dunia.

Yang pernah kita dengar perihal itu, melainkan sebab kematian Sa’ad yaitu Abu ‘Amr.

Demikianlah yang dapat dikutip dari hamisy alau pinggir sebagian naskah asli, diturun dari tulisan yang mulia Imam Nawawi sendiri, penyusun kitab ini rahimahul Laahu Ta’ala (Semoga Allah Ta’ala mengaruniakan kerahmatan kepadanya).

[52] Dalam riwayat lain disebutkan bahwa setelah Jabir r.a. berkata: “Ya,” yang maksudnya Nabi s.a.w. telah diberitahu bahwa makanan yang dapat disediakan itu hanya cukup untuk seorang dua orang saja. Tetapi tiba-tiba yang diajak beliau s.a.w., adalah semua sahabat Muhajirin dan Anshar yang semuanya dalam keadaan lapar. Isterinya lalu berkata: “Kalau begitu, Allah dan RasulNya adalah lebih mengetahui. Kita telah memberitahukan apa yang dapat kita sediakan.” Dengan kata-kata isterinya, kesedihan Jabir r.a. yang sangat itu menjadi lapang.

 

والله أعلمُ بالـصـواب

Download Sumber

 

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *