[ UIC 14 ] – Tazkiyatun Nufus 217

Bab 217 – Wajibnya Puasa Ramadhan, Huraian Keutamaan Berpuasa Dan Hal-hal Yang Berhubungan Dengan Puasa Itu

Allah Ta’ala berfirman:

“Hai sekalian orang yang beriman! Diwajibkanlah puasa atas engkau semua sebagaimana yang diwajibkan atas orang-orang yang sebelum engkau semua itu,” sampai kepada firmanNya: “Bulan ramadhan yang di dalamnya itu diturunkan al-Quran, sebagai :petunjuk untuk semua manusia dan merupakan keterangan-keterangan dari petunjuk dan yang memperbezakan antara kebenaran dan kesesatan. Maka barangsiapa di antara engkau semua ada yang menyaksikan bulan Ramadhan, hendaklah berpuasa dan barangsiapa yang sakit atau dalam perjalanan, maka berpuasalah menurut hitungan yang tidak dipuasainya itu pada hari-hari yang lain,” sampai akhirnya ayat. (al-Baqarah: 183)

1212. Dari Abu Hurairah r.a., katanya: “Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Allah ‘Azzawajalla berfirman – dalam Hadis qudsi: “Semua amal perbuatan anak Adam – yakni manusia – itu adalah untuknya, melainkan berpuasa, kerana sesungguhnya puasa itu adalah untukKu dan saya akan memberikan balasan dengannya. Puasa adalah sebagai perisai – dari kemaksiatan serta dari neraka. Maka dari itu, apabila pada hari seseorang di antara engkau semua itu berpuasa, janganlah ia bercakap-cakap yang kotor dan jangan pula bertengkar. Apabila ia dimaki-maki oleh seseorang atau dilawan bermusuhan, maka hendaklah ia berkata: “Sesungguhnya saya adalah berpuasa.” Demi Zat yang jiwa Muhammad ada di dalam genggaman kekuasaanNya, nescayalah bau busuk dari mulut seseorang yang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah daripada bau minyak kasturi. Seseorang yang berpuasa itu mempunyai dua kegembiraan dan ia dapat merasakan kesenangannya, iaitu apabila ia berbuka, ia pun bergembiralah dan apabila telah bertemu dengan Tuhannya, ia pun gembira dengan adanya amalan puasanya.” (Muttafaq ‘alaih)

Dan ini adalah lafaz riwayat Imam Bukhari.

Dalam riwayat Imam Bukhari yang lain disebutkan: Allah berfirman dalam Hadis qudsi:

“Orang yang berpuasa itu meninggalkan makan, minum dan syahwatnya kerana taat pada perintahKu – Allah. Puasa adalah untukKu dan Aku akan memberikan balasannya, sedang sesuatu kebaikan itu dibalas dengan sepuluh kali lipat gandanya.”

Dalam riwayat Imam Muslim disebutkan:

“Setiap amal perbuatan anak Adam – yakni manusia itu, yang berupa kebaikan akan dilipat gandakan pahalanya dengan sepuluh kalinya sehingga tujuh ratus kali lipatnya. “Allah Ta’ala berfirman: “Melainkan puasa, kerana sesungguhnya puasa itu adalah untukKu dan Aku akan memberikan balasannya. Orang yang berpuasa itu meninggalkan kesyahwatannya, juga makanannya semata-mata kerana ketaatannya pada perintahKu. Seseorang yang berpuasa itu mempunyai dua macam kegembiraan, sekali kegembiraan di waktu berbukanya dan sekali lagi kegembiraan di waktu menemui Tuhannya. Nescayalah bau busuk mulut orang yang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah daripada bau minyak kasturi.”

1213. Dari Abu Hurairah r.a. pula bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Barangsiapa yang menafkahkan sepasang binatang – yakni dua ekor kuda, lembu atau pun unta – dalam kepentingan fi-sabilillah, maka ia akan dipanggil dari semua pintu syurga dengan ucapan: “Hai hamba Allah, inilah yang lebih baik.” Maka jikalau seseorang itu dari golongan ahli shalat, ia akan dipanggil dari pintu Shalat, barangsiapa yang termasuk dalam ahli jihad, ia akan dipanggil dari pintu Jihad, barangsiapa yang termasuk dalam ahli puasa, ia akan dipanggil dari pintu Rayyan – ertinya puas atau kenyang minuman, barangsiapa yang termasuk dalam ahli sedekah, maka ia dipanggil dari pintu Shadaqah.”

Abu Bakar r.a. berkata: “Bi abi anta wa ummi ya Rasuiullah, tidak ada kerugian sama sekali bagi seseorang yang telah dipanggil dari pintu-pintu itu, tetapi apakah ada seseorang yang dipanggil dari semua pintu itu?” Beliau s.a.w. menjawab: “Ya, ada dan saya mengharapkan agar anda termasuk dalam golongan orang yang dipanggil dari segala pintu tadi.” (Muttafaq ‘alaih)

1214. Dari Sahl bin Sa’ad r.a. dari Nabi s.a.w., sabdanya: “Sesungguhnya di dalam syurga itu ada sebuah pintu yang disebut pintu Rayyan – ertinya: Puas dan kenyang minum. Dari pintu ini masuklah semua orang yang berpuasa besok pada hari kiamat. Tidak ada seorang yang selain orang-orang yang berpuasa itu yang dapat masuk dari pintu itu. Dikatakanlah: “Manakah orang-orang yang berpuasa.” Mereka itu lalu berdiri, lalu tidak seorang pun yang dapat masuk dari pintu Rayyan tadi selain orang-orang yang berpuasa. Jikalau mereka telah masuk seluruhnya, lalu pintu itu pun ditutuplah, jadi tidak seorang pun lagi yang dapat memasukinya.” (Muttafaq ‘alaih)

1215. Dari Abu Said r.a., katanya: “Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tiada seorang hamba pun yang berpuasa sehari dengan niat fi-sabilillah – yakni semata-mata menuju kepada ketaatan kepada Allah, melainkan Allah akan menjauhkan wajahnya – yakni dirinya -kerana puasanya tadi, sejauh perjalanan tujuh puluh tahun dari neraka.” (Muttafaq ‘alaih)

1216. Dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya Nabi s.a.w. bersabda: “Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan kerana didorong oleh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, maka diampunkanlah untuk dosa-dosanya yang terdahulu.” (Muttafaq ‘alaih)

1217. Dari Abu Hurairah r.a. pula bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Apabila bulan Ramadhan telah datang, maka dibukalah pintu-pintu syurga, ditutuplah pintu-pintu neraka dan diikatlah semua syaitan.” (Muttafaq ‘alaih)

1218. Dari Abu Hurairah r.a, pula bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Berpuasalah kerana melihat – rukyah – bulan dan berbukalah kerana melihat bulan. Maka apabila terhalang oleh awan atas mu semua, maka sempurnakanlah hitungan bulan Sya’ban sebanyak tiga puluh hari.” (Muttafaq ‘alaih)

Ini adalah lafaznya Imam Bukhari.

Dalam riwayat Imam Muslim disebutkan:

“Maka jikalau tertutup oleh awan atasmu semua, maka berpuasalah sebanyak tiga puluh hari.”

 

والله أعلمُ بالـصـواب

Download Sumber

 

Leave a Reply

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *