[ UIC 14 ] – Tazkiyatun Nufus 171

Bab 171 – Takbirnya Seorang Musafir jikalau Menaiki Tempat Tinggi — Gunung-gunung — Dan Sebagainya Dan Bertasbih jikalau Turun Ke jurang Dan Sebagainya Serta Larangan Terlampau Sangat Dalam Mengeraskan Suara Takbir Dan Lain-lain

972. Dari Jabir r.a., katanya: “Kita semua – di waktu berpergian -apabila naik kita bertakbir dan apabila turun kita bertasbih.” (Riwayat Bukhari)

973. Dari Ibnu Umar radhiallahu’anhuma, katanya: “Nabi s.a.w. dan seluruh tenteranya itu apabila mendaki ke gunung-gunung, mereka semuanya bertakbir dan apabila turun mereka bertasbih.” Diriwayatkan oleh Imam Abu Dawud dengan isnad shahih.

974. Dari Ibnu Umar r.a. pula, katanya: “Nabi s.a.w. itu apabila kembali dari haji atau umrah, setiap kali beliau naik di atas gunung atau tanah tinggi yang keras, beliau tentu bertakbir sebanyak tiga kali, kemudian beliau mengucapkan – yang ertinya: “Tiada Tuhan melainkan Allah yang Maha Esa, tiada sekutu bagiNya,juga bagiNyalah segenap kerajaan dan puji-pujian. Allah adalah Maha Kuasa atas segala sesuatu. Kita semua kembali, kita semua bertaubat – kepada Allah, menyembah, bersujud kepada Tuhan kita serta mengucapkan puji-pujian. Allah menepati janjiNya, menolong hambaNya dan mengalahkan pasukan-pasukan musuh dengan seorang diri saja.” (Muttafaq ‘alaih)

Dalam riwayat Imam Muslim disebutkan:

“Jikalau beliau s.a.w. kembali dari memimpin pasukan atau tentera – dalam peperangan – atau dari haji atau umrah.”

975. Dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya ada seorang lelaki berkata: “Ya Rasulullah, saya hendak berpergian, maka berikanlah wasiat pada saya!” Beliau s.a.w. bersabda: “Hendaklah engkau tetap bertaqwa kepada Allah serta bertakbir pada setiap berada di tempat yang tinggi.” Setelah orang itu menyingkir, beliau s.a.w. lalu mengucapkan doa – yang ertinya: “Ya Allah, lipatlah – yakni dekatkanlah – yang jauh untuknya dan permudahkanlah untuknya dalam perjalanannya itu.”

Diriwayatkan oleh Imam Termidzi dan ia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan.

976. Dari Abu Musa al-Asy’ari r.a., katanya: “Kita semua bersama Nabi s.a.w. dalam berpergian, lalu apabila kita semua naik di atas suatu jurang, kita semua bertahlil serta bertakbir dan amat keraslah suara-suara kita itu. Kemudian Nabi s.a.w. bersabda: “Hai sekalian manusia, kasihanilah pada dirimu sendiri – yakni jikalau bersuara tidak perlu keras-keras, sebab sesungguhnya engkau semua itu bukannya berdoa kepada Tuhan yang bersifat tuli ataupun yang tidak ada Zatnya, sesungguhnya Tuhan itu adalah beserta engkau semua dan Dia Maha Mendengar lagi Dekat.” (Muttafaq’alaih)

 

والله أعلمُ بالـصـواب

Download Sumber

 

Leave a Reply

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *