[ UIC 14 ] – Tazkiyatun Nufus 153

Bab 153  – Bolehnya Menangisi Orang Mati Tanpa Nadab — Menghitung-hitung Kebaikan Mayat — Juga Tanpa Suara Keras Dalam Tangisnya Itu

Ada pun bersuara keras ketika menangisi mayit itu, maka hukumnya adalah haram dan ini akan dihuraikan dalam suatu bab tersendiri iaitu Kitab Larangan, Insya Allah.

Adapun menangis biasa, maka ada beberapa Hadis yang menghuraikan tentang dilarangnya itu dan bahawasanya mayat itu akan disiksa dengan sebab tangis keluarganya. Hal sedemikian ini ditakwilkan dan ditangguhkan atas orang yang mewasiatkan itu. Adapun yang dilarang itu hanyalah tangis yang di dalamnya disertai nadab atau dengan suara keras luar biasa. Adapun dalilnya tentang bolehnya menangis tanpa nadab dan tidak dengan suara keras ialah beberapa Hadis yang banyak sekali jumlahnya, di antaranya ialah:

922. Dari Ibnu Umar radhiallahu ‘anhuma bahawasanya Rasulullah s.a.w. meninjau Sa’ad bin Ubadah dan besertanya ialah Abdur Rahman bin Auf, Sa’ad bin Abu Waqqash dan Abdullah bin Mas’ud radhiallahu ‘anhum. Kemudian Rasulullah s.a.w. menangis. Ketika orang-orang sama mengetahui tangisnya Rasulullah s.a.w., maka mereka pun menangislah. Selanjutnya beliau s.a.w. bersabda: “Adakah engkau semua tidak mendengar? Sesungguhnya Allah itu tidak akan menyiksa sebab adanya airmata yang mengalir di mata, tidak pula kerana kesusahan hati, tetapi Allah menyiksa itu ialah dengan sebab perbuatan ini ataupun Allah memberikan kerahmatannya.” Beliau s.a.w. menunjuk kepada lisannya. (Muttafaq ‘alaih)

923. Dari Usamah bin Zaid radhiallahu ‘anhuma bahawasanya Rasulullah s.a.w. pada suatu ketika diaturkanlah berita tentang anak dari puterinya yang dalam keadaan akan meninggal dunia, lalu kedua mata Rasulullah s.a.w. mengalirkan airmata. Kemudian Sa’ad berkata pada beliau s.a.w.: “Apakah ertinya ini, ya Rasulullah?” Beliau s.a.w. menjawab: “Ini adalah sebagai tanda belas kasihan yang dijadikan oleh Allah Ta’ala dan hati hamba-hambaNya. Hanyasanya Allah itu mengasihi orang-orang yang mempunyai hati belas kasihan dari golongan hamba-hambaNya itu.” (Muttafaq ‘alaih)

924. Dari Anas r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. masuk ke tempat anaknya iaitu Ibrahim r.a. dan ia sedang berderma dengan jiwanya – yakni menghadapi kematian, maka kedua mata Rasulullah s.a.w. itu melelehkan airmata. Abdur Rahman bin Auf berkata kepadanya: “Tuan pun menangis ya Rasulullah?” Beliau s.a.w. lalu bersabda: “Hai Ibnu Auf, sesungguhnya airmata ini adalah sebagai tanda kasih sayang.” Selanjutnya airmata pertama itu diikuti airmata kedua dan seterusnya. Beliau s.a.w. lalu bersabda: “Sesungguhnya mata pun dapat mengalirkan air mata dan hatipun dapat berdukacita. Kita tidak mengucapkan melainkan apa yang dapat memberikan keredhaan kepada Tuhan kita dan sesungguhnya kita ini dengan berpisah denganmu itu, hai Ibrahim nescayalah bersedih hati.”

Diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Imam Muslim juga meriwayat-kan sebahagiannya. Hadis-hadis dalam bab ini banyak sekali disebutkan dalam kitab shahih dan tersohor sekali.

Wallahu a’lam.

 

والله أعلمُ بالـصـواب

Download Sumber

 

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *