[ UIC 14 ] – Tazkiyatun Nufus 144

Bab 144 – Kitab Perihal Meninjau Orang Sakit, Menghantarkan janazah, Menyembahyanginya, Menghadhiri Pemakamannya, Berdiam Sementara Di Sisi Kuburnya Sesudah Ditanamkan Meninjau Orang Sakit

891. Dari al-Bara’ bin ‘Azib radhiallahu ‘anhuma, katanya: “Rasulullah s.a.w. memerintahkan kepada kita supaya meninjau orang sakit, mengikuti janazah – yang akan dibawa ke kubur, mentasymitkan orang bersin – yakni mendoakan supaya ia memperoleh kerahmatan Allah dengan mengucapkan: Yarhamukallah, kalau orang yang bersin itu mengucapkan: Alhamdulillah, melaksanakan sumpah, menolong orang yang dianiaya, mengabulkan undangan orang yang mengundang dan menyebarkan salam.” (Muttafaq ‘alaih)

892. Dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Hak seorang Muslim atas Muslim lainnya itu ada lima perkara iaitu menjawab salam, meninjau orang sakit, mengikuti janazah-janazah – yang akan dimakamkan, mengabulkan undangan dan mentasymitkan orang yang bersin.” (Muttafaq ‘alaih)

893. Dari Abu Hurairah r.a. pula, katanya: “Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Sesungguhnya Allah ‘Azzawajalla itu akan berfirman nanti pada hari kiamat:

“Hai anak Adam – yakni manusia, Aku sakit, tetapi engkau tidak suka meninjauKu.” Manusia berkata: “Ya Tuhanku, bagaimanakah saya dapat meninjauMu, sedangkan Engkau adalah Tuhan yang menguasai seluruh alam ini?” Allah berfirman: “Adakah engkau tidak mengetahui bahawa seorang hambaKu, si Fulan itu sakit, tetapi engkau tidak suka meninjaunya. Tidakkah engkau mengetahui, bahawasanya apabila engkau meninjaunya, tentulah engkau akan mendapatkan Aku di sisinya? Hai anak Adam, Aku meminta makanan padamu, tetapi engkau tidak suka memberikan makanan itu padaKu. Manusia berkata: “Ya Tuhanku, bagaimanakah saya dapat memberikan makanan padaMu. Sedang Engkau adalah Tuhan yang menguasai seluruh alam ini?” Allah berfirman: “Tidakkah engkau mengetahui bahawa seorang hambaKu, si Fulan itu meminta makanan padamu, tetapi engkau tidak suka memberikan makanan itu padanya. Adakah engkau tidak mengetahui, bahawasanya apabita engkau memberikan makanan padanya, tentulah engkau akan mendapatkan yang sedemikian itu di sisiKu. Hai anak Adam, Aku meminta minuman padamu, tetapi engkau tidak suka memberikan minuman itu padaKu.” Manusia berkata:

“Ya Tuhanku, bagaimanakah saya dapat memberikan minuman padaMu, sedangkan Engkau adalah Tuhan yang menguasai seluruh alam ini?” Allah berfirman: “Ada seorang hambaKu, si Fulan itu meminta minuman padamu, tetapi engkau tidak suka memberikan minuman itu padanya. Andaikata saja engkau suka memberikan minuman padanya, tentulah engkau akan mendapatkan yang sedemikian itu di sisiKu.” (Riwayat Muslim)

894. Dari Abu Musa r.a., katanya: “Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tinjaulah orang sakit, berikanlah makanan pada orang yang lapar dan merdekakanlah tawanan.” (Riwayat Bukhari)

At’aanii ialah orang yang tertawan.

895. Dari Tsauban r.a. dari Nabi s.a.w., sabdanya: “Sesungguhnya orang Islam itu apabila meninjau saudaranya sesama Muslimnya – yang sakit, maka tidak henti-hentinya ia berada di dalam tempat penuaian syurga sehingga ia kembali.” Beliau s.a.w. ditanya: “Ya Rasulullah, apakah khurfah atau penuaian syurga itu,” Beliau s.a.w. menjawab: “Iaitu tempat di syurga yang – buah-huahannya – tinggal dipetik saja.” (Riwayat Muslim)

896. Dari Ali r.a., katanya: “Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tiada seorang Muslim pun yang meninjau saudaranya Muslim -yang sakit – di waktu pagi, melainkan ada tujuh puluh ribu malaikat yang mendoakan padanya supaya memperolehi kerahmatan Tuhan sampai orang itu berada di waktu petang dan jikalau ia meninjaunya itu di waktu petang, maka ada tujuh puluh ribu malaikat yang mendoakan padanya supaya ia memperolehi kerahmatan Tuhan sampai orang itu berada di waktu pagi. Juga orang tersebut akan memperolehi tempat buah-buahan yang sudah waktunya dituai di dalam syurga.”

Diriwayatkan oleh Imam Termidzi dan ia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan.

Alkharif ertinya ialah buah-buahan yang sudah waktunya dituai atau dipetik.

897. Dari Anas r,a., katanya: “Ada seorang anak Yahudi yang menjadi pelayan Nabi s.a.w, lalu ia sakit. la didatangi oleh Nabi s.a.w. untuk meninjaunya. Beliau s.a.w. lalu duduk di dekat kepalanya, lalu bersabda padanya: “Masuklah agama Islam!” Anak itu lalu melihat kepada ayahnya yang ketika itu sudah ada di sisinya – seolah-olah anak tadi meminta pertimbangan pada ayahnya. Ayahnya berkata: “Taatilah kehendak Abul Qasim” – iaitu Nabi s.a.w. Anak itu lalu menyatakan masuk Islam, Setelah itu Nabi s.a.w. keluar dan beliau bersabda: “Alhamdulillah yang telah menyelamatkan anak itu dari siksa api neraka.” (Riwayat Imam Bukhari)

 

والله أعلمُ بالـصـواب

Download Sumber

 

Leave a Reply

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *